Wednesday, October 27, 2010

Berlaku Jujurlah Dengan ALLAH

Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah al-Ahzab: 5)


Al-Qu’ran menerangkan seorang mukmin sebagai seorang yang tidak pernah melakukan kesalahan, tetapi sekiranya seseorang itu melakukannya, dia akan bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah secepat mungkin. Setiap detik didalam kehidupannya, orang yang bertaqwa akan berusaha untuk berkelakuan baik dan menunjukkan akhlak yang mulia. Walaupun dia mungkin akan membuat kesalahan dari masa ke semasa, kadang-kadang kesalahan kecil, kadang-kadang kesalahan besar.
Al-Qur’an memberi contoh banyak kesalahan yang dibuat oleh orang-orang beriman. Namun, apa yang penting ialah berazam untuk tidak melakukannya lagi dan dengan ikhlas meninggalkan kesalahan itu untuk selama-lamanya. Walau bagaimanapun, ia mustahil bagi seseorang itu tidak berbuat salah langsung dalam kehidupannya. Dunia ini ialah tempat ujian dan persiapan. Oleh itu, setiap dosa yang dilakukan akan menambahkan kesedarannya akan kelemahan diri di hadapan Allah. Allah telah berjanji untuk mengampuni dosa-dosa mereka yang bertaubat secara ikhlas atas kesalahan mereka dan memperbaikinya.
Tradisi masyarakat ini mendorong orang-orang yang jahil menjadi tidak ikhlas. Dia mungkin cuba untuk menunjukkan kebaikannya di hadapan manusia melalui cara yang penipuan. Pendapat manusia tentang dirinya sentiasa memenuhi fikirannya. Satu-satunya cara untuk melegakan diri daripada tekanan ini ialah dengan bersifat ikhlas dan jujur terhadap Allah, kerana hanya Agama Allah yang menghapuskan kebimbangan mereka tentang persepi orang lain terhadapnya. Hanya agama-Nya yang membawa orang-orang yang beriman jauh daripada sifat yang dapat merosakkan keikhlasan dan kejujuran mereka.
Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. (Surah Al ‘Imran: 135)
Islam memberikan kemudahan dan kebebasan, tetapi, oleh kerana kesalahan mengundang pelbagai reaksi yang tidak diingini daripada masyarakat, majoriti manusia bertindak berlandaskan kriteria yang ditetapkan oleh masyarakat. Di dalam masyarakat yang jahil, mereka cenderung untuk tidak mengampuni seseorang yang melakukan kesalahan walaupun orang tersebut telah membaiki kesalahannya. Kesalahan itu menjadi seperti parut yang kekal yang membawa kesan terhadap reputasinya.
Ingatlah, dengan hanya takut kepada Allah akan menjamin kejujuran yang sebenar. Syaitan mengajak manusia untuk tidak ikhlas dengan cara berbisik kepada mereka tentang kebimbangan palsu akan penghinaan daripada masyarakat atau dengan penderitaan daripada ketidakadilan dan bahaya. Ini ialah salah faham yang besar kerana apa yang penting ialah keredhan Allah dan keampunan-Nya. Allah yang menghukum atau menganugerahkan manusia sama ada di dunia atau di akhirat.
Setiap orang melakukan kesalahan. Oleh itu, apa yang penting ialah memohon keampunan daripada Allah dengan ikhlas dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Sejauh mana seseorang cuba untuk memperbaiki kesalahannya menunjukkan keikhlasannya Oleh kerana tiada manusia yang sempurna, yang paling mulia antara manusia ialah mereka yang paling ikhlas dan jujur terhadap Allah. Allah telah berfirman:
Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada di dalam hatimu; jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat. (Surah al-Isra’: 25)
Juga, ingatlah, kepada Allah sahaja seseorang itu perlu menunjukkan keikhlasan yang sebenarSeseorang mungkin jahil atau tidak mempunyai ilmu tentang perkara yang harus dilakukannya untuk mendapatkan keredhaan Allah.Walau bagaimanapun Allah pasti akan memberi petunjuk ke jalan yang lurus kepada mereka yang benar-benar mahu kembali kepada-Nya. Apa yang penting ialah keikhlasan dalam mengabdikan diri kepada Allah. Allah telah memberi berita gembira kepada sesiapa yang taat kepada-Nya, mereka tidak akan mengalami kerugian:
Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang teguh kepada tali yang paling kukuh. Dan hanya Allah-lah kesudahan segala urusan. (Surah Luqman: 22)
Oleh itu, jangan sesekali mengabaikan peringatan-peringatan yang kita perolehi, dan jangan sesekali lupa bahawa hanya satu cara untuk mencapai keselamatan di dunia dan di akhirat ialah dengan kembali kepada Allah dengan hati yang ikhlas.

No comments:

Post a Comment